top of page

Menyusur Persepsi Estetika melalui Kant dan Ehrenfels.

  • Writer: Saiful Akram Che Cob @ Ab Ghafar
    Saiful Akram Che Cob @ Ab Ghafar
  • Dec 12, 2025
  • 6 min read

Siapa Immanuel Kant dan Christian von Ehrenfels?


Tatkala kita mengamati serta menelusuri sejarah falsafah estetika, tumpuan terhadap hubungan antara pemikir-pemikir besar, sentiasa menawarkan ruang pemahaman yang lebih mendasar terhadap perkembangan idea estetika merentas zaman. Meskipun Immanuel Kant (1724–1804) dan Christian von Ehrenfels (1859–1932), tidak ‘berpencak’ di dalam ranah pemikiran yang sama, namun kedua-duanya berkongsi pandangan terhadap persoalan bagaimana manusia mengalami bentuk, keindahan, dan mengatur persepsi. Kant, melalui karya Kritik ke atas daya Pertimbangan (Critique of Judgment), telah memperteguh satu asas paling berpengaruh dalam epistemologi estetika moden, manakala Ehrenfels, melalui konsep Gestaltqualitäten (kualiti pada corak/pola/bentuk yang menyeluruh), menjadi di antara tokoh awal yang mencetuskan perkembangan psikologi Gestalt, sebagai landasan kepada sebuah struktur persepsi manusia secara keseluruhan. Jika kita cermati, seakan-akan kedua-dua filsuf ini tidak memiliki hubungan langsung, akan tetapi warisan intelektual daripada Kant, justeru mencipta ruang epistemik yang memungkinkan idea Ehrenfels ‘belayar’ jauh ke dunia psikologi persepsi.


Maka, karangan saya pada kali ini bertujuan untuk membahas saling hubungan sama di antara Kant dan Ehrenfels, secara langsung ataupun tidak, dengan memberi isyarat kepada perkembangan estetika, teori persepsi, dan konsep bentuk (form), sebagai hujahan untuk ‘menyandingkan’ pemikiran kedua-dua tokoh ini. Renungan saya secara sederhana, menunjukkan bahawa Kant sebenarnya telah menyediakan kerangka awal, untuk kita memahamkan struktur pengalaman estetika, manakala Ehrenfels melangkaui falsafah tradisional, dengan mengatur teori empirikal tentang persepsi holistik. Perkara ini akhirnya mengundang  perbahasan estetika moden dan lapangan psikologi persepsi, yang dipelopori oleh tiga ahli kaji jiwa Jerman, awal abad ke-20, iaitu Wolgang Kohler, Kurt Koffka dan Max Wetheimer.


Kant dan Sumbangannya terhadap Estetika Moden


Di dalam ‘Kritik ke atas daya Pertimbangan’, Kant ada mengusulkan suatu analisis yang mendalam tentang penilaian terhadap estetika (ästhetisches Urteil). Pada Kant, penilaian tentang keindahan itu sifatnya kontemplatif (berfikir dengan keras), bebas daripada sebarang konsep, bahkan tidak pula bergantung kepada kegunaan objek. Hal keindahan, bukanlah sekadar sifat objek (alam, lukisan, arca, sastera) semata-mata, tetapi terletak kepada cara subjek (manusia) mengalami objek tersebut. Kant memperkenalkan konsep free play, yakni daya di antara imaginasi dan kefahaman, sebagai hujah bagaimana akal kita dapat mengharmonikan persepsi, tanpa pemaksaan kepada konsep-konsep intelek. Kant juga menekankan kepentingan bentuk (form) dalam pengalaman estetika. Bentuk, menurut sang filsuf, merupakan susunan yang dapat dicerap oleh daya persepsi, sebagai struktur teratur dan memenuhi kehendak ‘kebertujuanan tanpa tujuan’ (purposiveness without purpose), ertinya, apabila kita menilai sesuatu itu indah, kita merasakan seolah-olah objek itu ada tujuan, ada susunan yang teratur, ada ‘kebertujuanan’, tetapi bukan untuk apa-apa kegunaan praktikal. Contoh yang sederhana, kita misalkan betapa indahnya gumpalan awan di angkasa luas. Awan itu kelihatan tersusun, bertekstur indah. Kita katakan ia “indah”, walaupun awan itu tidak dibentuk untuk sebarang tujuan, melainkan ia berlaku secara alamiah. Atau betapa gemersiknya getar ‘melodi’ lagu. Melodi yang indah itu kita rasakan ia ‘tersusun’, ‘mengalir’, dan ‘bermakna’. Tujuan melodi itu hanyalah memberi rasa harmoni dan rasa senang, bukan berfungsi secara praktikal. Jadinya, pemusatan Kant terhadap bentuk, membuka jalan kepada kajian mengenai struktur persepsi dalam estetika, suatu idea yang akan menjadi penting dalam pemikiran Ehrenfels.



 

Idea Kant tentang konsep ‘kebertujuanan tanpa tujuan’ (purposiveness without purpose). Awan yang kelihatan tersusun, bertekstur indah, sebenarnya tidak dibentuk untuk sebarang tujuan, melainkan ia berlaku secara alamiah.


Ehrenfels dan Teori Gestaltqualitäten

Christian von Ehrenfels, seorang ahli falsafah Austria yang terkenal melalui eseinya pada tahun 1890, yang  berjudul Kuasa dan Daya Gestalt (Über Gestaltqualitäten). Melalui naskah ini, beliau membahas tentang adanya ‘kualiti bentuk’, yang tidak dapat dikurangkan kepada jumlah bahagian-bahagian sesuatu objek. Ehrenfels memberikan contoh melodi: walaupun melodi terdiri daripada beberapa nota, sifat melodi itu bukan hanya hasil daripada penjumlahan nota-nota tersebut. Sebaliknya, ia memiliki kualiti tambahan, yakni Gestaltqualität, yang muncul melalui hubungan di antara bahagian-bahagian (yang sedikit berbeza dengan konsep ‘kebertujuanan tanpa tujuan’ bawaan Kant). Idea ini merupakan penolakan terhadap tradisi atomistik persepsi, termasuk faham empirisisme daripada sebahagian besar pemikir Inggeris, misalnya John Locke dan David Hume. Ehrenfels lalunya membayangkan persepsi sebagai suatu bentuk keseluruhan terstruktur, yang memerlukan penerangan secara fenomenologi, bukannya analisis terhadap elemen-elemen kecil. Biarpun Ehrenfels bukan ahli estetika konvensional, teori Gestaltqualität memberikan takrifan baru tentang cara manusia mengamati bentuk dan susunan. Gagasan ini selanjutnya membawa implikasi besar terhadap pembicaraan estetika abad ke-20, terutama dalam ilmu teori seni visual dan muzik.


Kant dan Ehrenfels menjalin ‘makna’



Tradisi Kantian tentang bentuk dan susunan


Salah satu titik temu tidak langsung di antara kedua-dua pemikir, ialah penekanan terhadap ‘bentuk’ sebagai dasar utama pengalaman. Pada Kant, bentuk merupakan asas yang memberikan kesatuan dalam kita memaknai persepsi estetika. Hal ini bertentangan dengan Ehrenfels, bilamana beliau mengutarakan soal bentuk sebagai suatu perkara yang tidak terikat pada bahagian-bahagian objek. Meski Kant dan Ehrenfels berbeza pada metodologi, (Kant dalam kerangka apriori-transendental, manakala Ehrenfels teguh dalam tradisi empirikal-fenomenologis), kedua-duanya masih melihat bahawa pengalaman manusia bukan sekadar tindak balas kepada rangsangan atomistik, namun melibatkan pemersatuan aktif akal budi manusia.


Konteks intelektual Neo-Kantian


Ehrenfels berkarya dalam persekitaran intelektual yang dipengaruhi kuat oleh gerakan Neo-Kantian (gerakan falsafah abad ke-19 hingga awal abad ke-20, yang menghidupkan semula pemikiran Immanuel Kant, tetapi menafsirkannya semula mengikut konteks moden), terutamanya di Jerman dan Austria sekitar tahun 1870–1920. Neo-Kantianisme menekankan struktur apriori pengalaman, termasuk kategori persepsi. Walaupun Ehrenfels bukanlah pendukung Neo-Kantian, beliau berkarya dalam milieu yang sudah menerima idea Kant tentang struktur persepsi, sebagai pencetus kepada analisis falsafah. Hal ini memungkinkan Ehrenfels memperkenalkan teorinya sendiri sebagai reaksi serta lanjutan kritikal terhadap persoalan yang sebahagian besarnya dimulakan oleh Kant. Secara sintesis, Kant menolak empirisisme Inggeris yang menganggap akal budi sebagai ‘tabula rasa’ yang pasif. Ehrenfels pula, melalui pendekatan Gestalt, menolak psikologi asosiasionisme (aliran dalam ilmu psikologi yang berpendapat bahawa pemikiran, idea, ingatan, dan pembelajaran terbentuk melalui proses mengaitkan atau menghubungkan unsur-unsur mental. yang melihat persepsi sebagai himpunan unsur kecil). Kedua-dua mereka secara tidak langsung, berkongsi pandangan bahawa minda ialah agen aktif dalam membentuk pengalaman.

 

 

Pengaruh awal terhadap Gerakan Gestalt


Walaupun Max Wertheimer, Kurt Koffka, dan Wolfgang Köhler (pengasas psikologi Gestalt di Jerman), lebih jelas membincangkan hubungan mereka dengan Kant, idea-idea daripada Ehrenfels sebenarnya yang menjadi penghubung di antara falsafah estetika Kantian dan psikologi persepsi moden. Justeru, para ahli psikologi Gestalt di tahun-tahun berikutnya telah menamakan Immanuel Kant sebagai tokoh awal yang memahami struktur aktif akal budi. Makanya, hubungan tidak langsung di antara Kant dan Ehrenfels mewarnai teori estetika abad ke-20 melalui:


Estetika Gestalt


Teori Gestalt menjadi asas memahami bagaimana penonton melihat komposisi dalam seni visual, seperti keseimbangan, harmoni, dan pola. Ini secara langsung berkait dengan minat Kant terhadap bentuk dan susunan.


Teori seni moden


Ahli estetika seperti Rudolf Arnheim, Heinrich Wolfflin, dan Ernest Gombrich banyak merujuk kepada konsep serta gagasan idea Gestalt, sebagai hujah utama untuk menerangkan struktur pengalaman seni. Arnheim secara khusus mengaitkan psikologi Gestalt dengan estetika yang dekat dengan semangat Kantian, bahawasanya sesuatu pengalaman seni harus melibatkan pemersatuan aktif di antara fikiran dan pengalaman. Secara insaf, sekiranya kita bawakan persoalan ini ke dalam konteks dunia seni serta rekaan kontemporari, prinsip Gestalt menjadi asas kepada segenap teori persepsi visual, yang sebenarnya sedang menguatkan lagi saling hubungan di antara fikrah Kant dan Ehrenfels dalam teori bentuk.


Charles Allen Gilbert, ‘All is Vanity’, 1892


Refleksi


Walaupun gagasan fikir Immanuel Kant dan Christian von Ehrenfels tidaklah ‘besentuhan’ secara langsung, namun suatu rumusan sederhana dapat jua kita duga. Sintesis di antara kedua-duanya sangat signifikan dalam sejarah estetika dan teori persepsi. Kant menyediakan kerangka awal untuk memahami peranan bentuk dan struktur dalam pengalaman estetika, manakala Ehrenfels memberikan asas empirikal, untuk kita memahamkan sifat-sifat bentuk yang wujud, sebelum ia menjadi tunjang serta pedoman kepada tumbuhnya kerangka psikologi Gestalt. Kant dan Ehrenfels ‘menghadiahkan’ cetusan pemikiran kepada tradisi yang melihat persepsi sebagai aktiviti akal budi yang teratur, berstruktur, terorganisasi, bahkan kreatif. Dengan penekanan yang serupa terhadap bentuk, struktur, dan aktiviti pemersatuan, pemikiran kedua-dua susuk ini telah mencorak perbahasan estetika moden, malah menyediakan asas sentral untuk kita memahami dunia seni, alam visualiti, dan cakerawala keindahan dalam memaknai hidup.



Rujukan


Arnheim, R. (1974). Art and visual perception: A psychology of the creative eye. University of California Press.


Ehrenfels, C. von. (1890). Über Gestaltqualitäten. Vierteljahrsschrift für wissenschaftliche Philosophie, 14, 249–292.


Guyer, P. (2006). Kant and the experience of freedom: Essays on aesthetics and morality. Cambridge University Press.


Guyer, P. (Ed.). (2017). The Cambridge companion to Kant’s Critique of Judgment. Cambridge University Press.


Kant, I. (2000). Critique of the power of judgment (terjemahan oleh P. Guyer & E. Matthews). Cambridge University Press.


Koffka, K. (1935). Principles of Gestalt psychology. Harcourt, Brace.

Wertheimer, M. (1924). Gestalt theory. Psychologische Forschung, 1, 47–58.


Zuckert, R. (2007). Kant on beauty and biology: An interpretive theory. Cambridge University Press.

 

Comments


© 2035 by The Artifact. Powered and secured by Wix

  • Konteks Seni
  • Konteks Seni
bottom of page